KUCHING: Forum Transformasi Digital yang turut disertai oleh beberapa syarikat ternama dari China dan Hong Kong di sini akan membuka peluang lebih luas kepada peniaga dan rakyat di negeri ini terlibat dalam bidang teknologi, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, antara bidang tersebut ialah membangunkan tenaga hijau selepas Sarawak berjaya melaksanakan ekonomi digital sejak beberapa tahun lalu.
Peniaga mungkin boleh menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) yang mudah diperoleh masa kini, katanya merasmikan forum Transformasi Digital yang turut disertai oleh peserta dari luar negara di sini.
Abang Johari menegaskan, antara bidang yang boleh diterokai ialah menanam pokok kayu menggunakan data supaya tumbuh lebih cepat.
Pokok kayu banyak kegunaannya, tegas beliau dan menambah, daripada pokok kayu boleh menghasilkan pellet untuk menjana kuasa dan melestarikan alam sekitar di samping menyejukkan bumi.
Beliau berkata, Sarawak sekarang sedang giat membuat kajian untuk menghasilkan hidrogen pada kos yang lebih murah dengan menggunakan data, AI dan IoT.
Abang Johari turut menghargai usaha Global Resources Management Sdn. Bhd. (GRM) dan GRM Digital Solution Sdn. Bhd. untuk merapatkan kesalinghubungan negeri ini dengan negara China, Hong Kong dan Singapura dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Premier Sarawak juga mahu golongan muda mengambil kesempatan daripada hub digital yang dibangunkan oleh kerajaan dengan berfikiran lebih kreatif dan inovatif menghasilkan produk baharu.
Sumber dari : Jiwa Bakti